Oleh: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil
Soalan; Saya khilaf tentang satu perkara. Dewasa ini
banyak fitnah kerana perbezaan fahaman politik. Ada kawan saya
mengatakan ketua A itu peminum arak dan kafir. Apabila saya katakan
tidak mahu mendengar kerana takutkan itu fitnah, beliau mengatakan
kepada saya, menurut ustaz beliau, politik adalah hak bersama. Semua
orang perlu tahu, tidak kisahlah sama ada betul atau tidak. Tapi
bukankah menyebarkan berita yang buruk tentang seseorang apatah lagi
diragui kesahihannya adalah mendatangkan fitnah? Harap ustaz dapat
berikan saya penerangan.
Jawapan;
1. Hukum asal memperkatakan keburukan orang lain adalah haram. Jika keburukan itu benar-benar dilakukannya lalu kita memperkatakannya - tanpa suatu desakan yang diiktiraf oleh Syariat- kita dianggap mengumpat (ghibah). Jika keburukan itu tidak dilakukannya (yakni kita yang mengada-adakannya), kita telah melakukan dosa fitnah dan juga ghibah (umpatan). Sama ada mengumpat (ghibah) atau fitnah, kedua-duanya adalah dosa besar, apatah lagi jika menggabungkan kedua-duanya.
Jawapan;
1. Hukum asal memperkatakan keburukan orang lain adalah haram. Jika keburukan itu benar-benar dilakukannya lalu kita memperkatakannya - tanpa suatu desakan yang diiktiraf oleh Syariat- kita dianggap mengumpat (ghibah). Jika keburukan itu tidak dilakukannya (yakni kita yang mengada-adakannya), kita telah melakukan dosa fitnah dan juga ghibah (umpatan). Sama ada mengumpat (ghibah) atau fitnah, kedua-duanya adalah dosa besar, apatah lagi jika menggabungkan kedua-duanya.
Dalam
Soheh Muslim, terdapat hadis daripada Abu Hurairah yang menceritakan;
Nabi pernah bertanya para sahabatnya; "Tahukah kamu apa itu ghibah
(umpatan)?". Mereka menjawab; "Allah dan Rasul-Nya lah yang paling
tahu". Nabi menjawab; "Ghibah (umpatan) ialah kamu menyebut tentang
saudara kamu sesuatu yang ia tidak suka". Lalu seorang bertanya Nabi;
"Apa pandangan kamu ya Rasulullah jika apa yang aku sebutkan tentang
saudaraku benar-benar ada pada pada dirinya". Jawab Nabi; "Jika ia
benar-benar ada pada dirinya, lalu kamu menyebutnya, maka kamu
mengumpatinya. Namun jika ia tidak ada padanya, lalu kamu menyebutnya
(dengan mereka-rekanya), maka kamu telah mengadakan suatu pembohongan
terhadapnya" (HR Imam Muslim, Kitab al-Birr wa as-Silah, bab Tahrim
al-Ghibah).
2. Bagi masalah ghibah (iaitu menceritakan/mendedah
keburukan orang lain atau menyebut orang lain dengan suatu nama yang
buruk) dikecualikan bagi enam situasi berikut mengikut yang dijelaskan
oleh para ulama (antara Imam an-Nawawi dalam kitabnya Syarah Sahih
Muslim dan Riyadhus-Salihin);
a) Apabila diri dizalimi; Harus
orang yang dizalimi membuat pengaduan kepada pemerintah, kadi atau pihak
berkuasa lainnya dengan menceritakan keburukan atau kezaliman orang
yang menzaliminya.
b) Memohon bantuan untuk mengubah suatu
kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat kepada kebenaran. Seperti
seorang melaporkan kapada pihak yang berkuasa mengubah kemungkaran; "Si
Fulan telah melakukan perbuatan sekian sekian, tegahlah ia".
c)
Bertujuan mendapatkan fatwa (pandagan agama); Seperti Hindun yang
mengadu kepada Nabi sikap kedekut suaminya. Ia berkata kepada Nabi; "Ya
Rasulullah, suamiku Abu Sufyan seorang yang kedekut, bolehkah aku
mengambil wangnya tanpa diketahuinya?".
d) Memberi peringatan
kepada kaum muslimin agar berjaga-jaga daripada suatu kejahatan; Seperti
mendedahkan kepalsuan seorang yang pura-pura alim atau pembawa ajaran
sesat supaya orang ramai mengetahui hakikat dirinya yang sebenar. Begitu
juga, mendedahkan penyelewengan seorang pemimpin dalam mentadbir rakyat
kepada orang yang berkuasa melantiknya agar mereka tidak tertipu untuk
terus memberi kuasa kepadanya.
e) Seorang yang
berterang-terangan melakukan dosa atau kesesatan seperti
berterang-terang minum arak, berterang-terang menganut fahaman sesat
atau seumpamanya. Orang sebegini harus disebut tentang dirinya dengan
maksiat yang dilakukannya secara terang itu. Adapun maksiat yang
dilakukannya secara tersembunyi, tidak harus disebut kecuali ada suatu
sebab yang lain.
f) Untuk memperkenalkan seseorang; Harus
menyebut seseorang dengan suatu gelaran jika ia masyhur dikenali dengan
gelaran itu. Haram menyebut suatu gelaran dengan tujuan merendahkan
martabat orang lain.
Dalam enam situasi di atas, dibolehkan kita
memperkatakan/mendedahkan keburukan orang lain kerana mempunyai tujuan
yang diharuskan syariat untuk maslahah yang lebih besar daripada
maslahah individu yang diperkatakan keburukannya.
3. Oleh sebab
hukum mengumpat adalah haram pada hukum asalnya dan dosanya adalah
besar, maka orang yang terpaksa menggunakan pengecualian di atas ia
hendaklah memerhatikan perkara berikut;
a) Memerhati niat dalam
hatinya; apakah ia benar-benar terpaksa memperkatakannya atau hanya
lahir daripada keinginan nafsunya sahaja. Jika hati benar-benar berkata;
"Aku wajib mendedahkannya demi agama dan ummah", maka bertawakkallah
kepada Allah dan teruskanlah apa yang diyakini. Namun jika hati berkata;
"Ini hanya keinginan nafsu sahaja", batalkanlah niat untuk berkata
tentang orang lain itu, kerana padah yang bakal kita terima tidak padan
dengan sedikit kepuasan yang kita dapat.
b) Hendaklah mengukur
natijah darinya; adakah dengan memperkatakannya akan membawa kesan lebih
baik atau dengan senyap sahaja dan mencari pendekatan lain yang lebih
baik untuk membetulkan orang terbabit.
c) Setiap yang dilakukan
kerana darurat (kerana hukum asalnya adalah haram) tidak harus
berlebihan, yakni dilakukan sekadar perlu sahaja.
d) Maksiat yang
dilakukan berkait dengan orang lain, yakni pendedahan terpaksa
dilakukan untuk mengelak orang lain turut terlibat atau terzalimi jika
mereka tidak mengetahuinya. Adapun maksiat yang bersifat peribadi tidak
harus didedahkan kerana ia adalah dosa antara pelakunya dengan Allah.
Sesuatu yang ditutup Allah, tidak berhak kita membukanya kerana nanti
keaiban kita pula akan dibuka Allah.
SUMBER: Harakah Daily
Join The Community