Join The Community

Premium WordPress Themes

Hanya 50 Guru Mohon Aktif Berpolitik




 Dr Mohd Puad Zarkashi
 
SHAH ALAM – Guru atau Pegawai Pendidikan Perkhidmatan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan berpolitik dengan syarat mendapat kelulusan Kementerian Pelajaran dan hanya 50 orang membuat permohonan sejak dua tahun lalu,

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi berkata, kebenaran berpolitik menunjukkan keterbukaan kerajaan apabila kerajaan meminda Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang membenarkan guru bertanding atau bergiat aktif dalam politik.

Langkah itu dilaksanakan sejak 2010.
"Kebenaran ini hanya untuk guru atau Pegawai Pendidikan Perkhidmatan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 sahaja dengan syarat mereka perlu membuat permohonan dan mendapat kelulusan dari pihak kementerian.
"Bahkan guru yang memdapat kebenaran berpolitik itu juga boleh memohon cuti tanpa rekod jika ingin bertanding dan menjadi perwakilan mana-mana parti politik," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor di sini, semalam.

Beliau berkata, berdasarkan rekod dari tahun 2010 hingga kini lebih kurang 50 orang sahaja yang memohon untuk bergiat aktif dalam politik.
"Daripada jumlah tersebut, 24 permohonan diluluskan manakala sembilan lagi ditolak kerana memegang jawatan tertinggi di sekolah seperti pengetua atau penolong kanan," katanya.

Menurutnya, jika guru yang mendapat kebenaran berpolitik dinaikkan pangkat ke Gred DG52 ke atas, status kebenaran tersebut terbatal dengan sendirinya.

Ketika ditanya mengenai penglibatan penjawat awam semasa perhimpunan Bersih 3.0, Puad berkata, setakat ini masih belum mendapat sebarang maklumat ada guru yang terlibat di mana ianya masih dalam siasatan pihak polis.